Friday, October 31, 2008

Pertandingan Menulis Cerpen Dunia Magis

Salam,

Bagi menggalakkan pembaca remaja menggunakan kreativiti dan imaginasi serta memupuk minat menulis, saya mengumumkan satu pertandingan menulis cerpen di laman ini - "Pertandingan Menulis Cerpen Dunia Magis."

Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah RENDAH dan MENENGAH di Malaysia dan Singapura bagi mencungkil bakat penulisan generasi muda.

TEMA
Cerpen mestilah yang asli dan mempunyai unsur-unsur magis yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Anda tidak boleh menggunakan watak-watak daripada mana-mana buku sedia ada termasuklah Kembar Terpilih mahu pun Harry Potter.

SYARAT-SYARAT

*Mesti menggunakan dokumen Words, ditaip menggunakan font Times New Roman bersaiz 12 dan langkau satu baris. Panjang cerpen mesti TIDAK KURANG daripada 750 patah perkataan.

*Cerpen mesti ditulis menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

*Anda boleh menghantar lebih daripada satu penyertaan tetapi setiap penyertaan mesti mempunyai butiran-butiran berikut: nama penuh, nombor kad pengenalan, nama sekolah, nombor telefon dan alamat surat menyurat. (butiran-butiran hanya untuk rekod).

*Hantarkan cerpen anda melalui emel kepada saya di meor.shariman@gmail.com

Saya akan membalas email anda setelah menerimanya. Dan senarai nama peserta serta tajuk cerpennya akan saya senaraikan di laman ini.

*Tarikh tutup penyertaan ialah pada Januari 15, 2009. Keputusan pemenang akan saya senaraikan di laman ini pada Februari 1, 2009. Keputusan adalah muktamat.

HADIAH-HADIAH

1 x Hadiah 1
Wang tunai RM150 dan satu koleksi lengkap buku-buku karya Meor Shariman

*Kembar Terpilih
*Kembar Terpilih Jatuh Hati
*Kembar Terpilih Dalam Bahaya
*Kembar Terpilih Di Ambang Maut
*Bagai Sejuta
*Badang
*Sumpahan Fasha
*Tak Tahu Antara Dua
*Pemburu Puaka
*Cicakman
*Duyung
*Kian
*Rrama
*Cicakman 2 Planet Hitam
*Main-Main Cinta
*Kasanova
*Cinta Gadis Pontianak

1x Hadiah 2
Wang tunai RM100 dan tiga buah buku karya Meor Shariman

1x Hadiah 3
Wang tunai RM50 dan dua buah buku karya Meor Shariman

7 x Hadiah saguhati
Sebuah buku karya Meor Shariman

*Cerpen yang menang akan disiarkan di laman ini serta dikumpulkan sebagai Buku Comel untuk edaran secara percuma.

**Jika pemenang adalah dari Singapura, hadiah wang tunai adalah dalam Dollar Singapura.

NOTA: Karektor paling kreatif dan menarik akan dimasukkan ke dalam siri Kembar Terpilih 6 sebagai karektor undangan!

Mantera Menurut Islam

Maklumat di bawah saya perolehi semasa membuat kajian tentang mantera untuk siri Kembar Terpilih.

Rasulullah SAW pernah menggunakan jampi mantera untuk memohon perlindungan daripada Allah dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran.

"Diriwayatkan oleh Aisyah r.a: Rasullulah SAW telah menghembuskan ke atas dirinya ketika sakit yang membawa kewafatannya dengan al-mu’awwizat. Apabila sakitnya bertambah tenat aku menghembusnya dengan al-mu’awwizat, kemudian aku sapu dengan tangannya sendiri untuk mengambil barakah. Az-Zuhri bertanya; Bagaimana cara dia menghembus, Jawabku: Dia menghembus ke atas dua tapak tangannya, kemudian menyapu mukanya dengan kedua-dua tapak tangannya."

*Al-Mu’awwizat yang dimaksudkan ialah bacaan Surah al-Falaq, al-Nas dan Qul huwal’Llah.

Manakala dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dalam sunnahnya dijelaskan tentang mantera.

‘Dari Auf bin Malik ia berkata, kami pernah menggunakan jampi mantera ketika zaman Jahiliah dahulu. Lalu kami bertanya: Ya Rasulullah, apakah pendapat tuan mengenai perkara ini. Baginda menjawab: Perdengarkan kepadaku jampi mantera kamu itu, tidak mengapa selagi ia tidak mengandungi syirik.’

Inilah dia Budak Bionik - INTRODUCING THE BIONIC BOY


Salam,
Di sebelah inilah Budak Bionik. Insyallah, beliau akan digunapakai sebagai watak Irfan dalam Budak Bionik.
Nama beliau ialah Alif Satar, penyanyi, pelakon dan hos REMAJA.
Beliau juga telah menulis sebuah buku berjodol BAGAI SEJUTA bersama-sama saya.
Kami juga dalam perancangan menulis buku ke 2 tetapi lambat sikit kerana jadual Alif yang sangat sibuk. Oh ya, jangan lupa tonton drama TV3 - Dendam setiap Selasa 11 malam di mana Alif adalah antara pelakon utama.
Nantikan juga lagu terbaru Alif berjodol AKAN TIBA di radio dan dapatkan mini album ALIF yang menampilkan lagu-lagu hit KAU PERGI dan ADIKKU PANDAI MENARI, kini di pasaran.
Wasalam
Yes!
This is the Bionic Boy and his name is Alif. He is the 2nd runner-up of reality TV show - One In A Million Season 1. He is also the host of teen magazine, REMAJA and Super Soccerstar Malaysia. He is also an actor and can be seen in DENDAM on TV3, every Tuesday at 11pm. Currently, his new single AKAN TIBA, is on radio and you can also listen to it by clicking on the VIDEO BAR, on this site.

Teaser BUDAK BIONIK

DUA ekor anjing rottweiler meluru ke arah Irfan. Salakan anjing-anjing itu menggila manakala gigi-gigi tajam yang berlendir, dipamerkan, bersiap sedia untuk menjamah si mangsa.
Irfan menelan liur. Dia terperangkap dan hanya menanti maut. Dia terperangkap di antara dua buah bangunan tujuh tingkat di kiri dan kanannya manakala sebuah tembok batu setinggi tiga tingkat, menghalang laluannya.

Irfan yakin dia boleh melompat melepasi tembok setinggi tiga tingkat itu dengan mudah, tetapi dia tidak mahu mengambil risiko itu. Dia tahu, di sebalik tembok tersebut, terbentang satu padang kontang dipenuhi jerangkap samar. Jika dia terpijak walaupun satu daripada jerangkap-jerangkap samar itu, anggota bioniknya tidak akan dapat membantunya terlepas daripada maut, apabila ledakan satu jerangkap samar yang dipijak, meledakkan beratus-ratus jerangkap samar lain yang ditanam di sekitar padang itu.

Satu-satunya jalan keluar ialah laluan di hadapannya. Laluan yang dihalang oleh dua ekor anjing rottweiler yang menjadi mangsa eksperimen kumpulan militia Angus. Gigi-gigi rahang anjing-anjing itu diperbuat daripada sejenis besi yang tahan lebur. Gigi-gigi yang mampu menghancurkan tulang manusia dengan satu gigitan dan meranapkan anggota badan bioniknya!

Tinggal lima saat lagi, sebelum kedua-dua ekor anjing itu berada pada jarak yang membolehkan anjing-anjing itu melompat dan menerkam.
Jantung Irfan berdegup kencang, dia perlu berfikir pantas.

"Anjing robot atau jerangkap samar?" bisik Irfan sendiri. Sebagai budak sekolah, Irfan sepatutnya memikirkan masalah kerja rumah, bukan membuat pilihan antara hidup dan mati.

"Anjing robot," bisiknya dengan penuh yakin dan terus bersedia menunggu dua ekor anjing itu merempuh tubuhnya.

Dan sebaik saja kedua-dua ekor anjing itu, menerjah ke arahnya, Irfan menjatuhkan badannya ke tanah lalu berbaring.

Badan kedua-dua ekor anjing terhempas ke tembok batu. Bahagian tembok yang terkena gigi-gigi kedua-dua ekor anjing itu, pecah.
Irfan bingkas bangun dan menoleh ke belakang.

"Alamak!"

Kedua-dua ekor anjing itu langsung tidak cedera walau pun setelah terhempas kuat pada tembok batu. Malahan, salah seekor anjing itu sudah bersedia untuk menyerangnya.

Irfan, tanpa lengah-lengah, terus memecut, menggunakan anggota kaki bioniknya, untuk melepaskan diri daripada ajal.

Kelajuan Irfan tidak dapat dikejar oleh anjing-anjing itu. Irfan tersenyum lega. Langkahnya makin pantas, larinya makin laju. Anjing-anjing itu masih mengejar, tetapi jarak kejaran makin jauh.

Irfan memandang ke hala tujunya. Menggunakan mata bioniknya, Irfan melihat skuternya yang ditinggalkan di tepi jalan, nun 300 meter di hadapan.

Jantung Irfan berhenti berdegup seketika. Ada sesuatu yang tidak kena kerana skuternya hanya tinggal rangka! Kedua-dua tayar sudah hilang, begitu juga dengan tempat duduk.

Kurang 20 saat selepas menggunakan penglihatan bioniknya, Irfan tiba di sebelah skuter kesayangannya.

"Kerja siapa ni?" keluh Irfan geram. Skuter itu pemberian ayahnya pada hari jadinya yang ke 16.

Menggunakan mata bioniknya, Irfan meninjau ke sekeliling, mencari-cari kelibat dajal yang telah menjahanamkan skuternya.

"Aduh!"

Tangan kanan budak lelaki itu cepat memegang lehernya, sebaik saja dia terasa ada satu benda tajam yang menyucuk.

Irfan menarik jarum penyuntik yang melekat pada kulit lehernya lalu dicampakkan ke tanah. Dia kemudian meraba-raba bekas cucukan jarum itu. Pedihnya masih terasa. Mata Irfan mula berpinar-pinar, tubuhnya rasa lemah.

Irfan sedar dia dalam bahaya. Dia tahu, jarum yang ditembak dan mengenai batang lehernya, bersalut racun. Racun yang melemahkan sistem badannya.

"Lari…" bisik Irfan kepada dirinya sendiri, menyuruh kaki bioniknya bergerak, membawa dia ke tempat lebih selamat.

Malangnya, kedua-dua kaki bioniknya tidak bergerak, malahan Irfan sudah tidak dapat merasa kedua-dua anggota kaki bioniknya. Kedua-dua tangan bioniknya juga terasa berat, seolah-olah diperbuat daripada besi keluli.

Sebaik saja budak lelaki itu jatuh ke tanah dan sebelum pandangannya menjadi gelap, Irfan dapat menangkap kelibat seorang lelaki berpakaian serba hitam, melangkah ke arahnya.

"Anguuusss…" bisik Irfan lalu tidak sedarkan diri.

AKAN DATANG 2009...

Sunday, October 26, 2008

Petua Ubati Hidung Berdarah

Mungkin anda pernah mengalami hidung berdarah secara tiba-tiba. Ini mungkin akibat cuaca yang terlalu panas, atau mungkin cedera akibat ditumbuk heheheheh.

Untuk menghentikan darah, cari sehelai daun sirih. Gulung daun sirih kecil-kecil dan sumbatkan pada lubang hidung yang berdarah itu.

Tapi ingat!!!! Pastikan daun sirih itu tidak ada ulat...kalau tidak, lain pula jadinya nanti.

Insyallah, darah akan henti mengalir.

Petua Sakit Batu Karang

Jika anda mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan berkemungkinan mengalami sakit batu karang tahap awal, ramuan ini mungkin boleh membantu.

Ambil 3 biji buah jering. Tumbuk buah jering itu hingga halus bersama-sama sedikit halia. Kemudian rebuskan dengan 5 gelas air, sehingga mendidih.

Minum secawan ramuan itu sehari, sehingga pulih. Tetapi jika penyakit anda ditahap serius, dinasihatkan supaya pergi berjumpa doktor.

Mantera kebal

Anggotaku kuat besi pejal
Uratku kuat besi pejal
kulitku kuat besi pejal
Tak lut semua selain ajal.

Mantera kebal ini digunakan dalam kembar Terpilih Menanti Ajal.

Siapa yang guna? Nantikan Menanti Ajal awal tahun depan.

Wednesday, October 22, 2008

Budak Bionik

MEOR SHARIMAN
mempersembahkan siri terbaru bersama PTS One

BUDAK BIONIK

TIGA bulan lalu, saya telah diculik. Saya tidak tahu siapa yang menculik saya dan apa yang telah mereka lakukan kepada saya. Malahan, saya juga tidak ingat apa yang berlaku sepanjang kehilangan saya itu.
Kata ayah, pihak polis menemui saya dalam keadaan tidak sedar diri di sebuah makmal terbiar di Sungai Buloh, dua minggu yang lalu.
Apa yang saya tahu, saya bukan lagi manusia normal. Saya boleh mengangkat kereta Kembara dengan sebelah tangan.Saya boleh melompat ke bumbung bangunan tiga tingkat dengan sekali lompatan dan saya boleh berlari sama laju dengan kelajuan tren ERL. Malahan, saya juga boleh melihat objek yang jauhnya 500 meter!
Ayah dan mama tidak tahu kebolehan luarbiasa saya ini dan saya tidak merancang untuk memberitahu mereka atau pun sesiapa.
Tetapi, semalam saya menerima e-mail daripada seorang lelaki misteri yang mengakui dia tahu apa yang telah berlaku kepada saya. Dia juga kata, saya dalam bahaya.
Nama saya Irfan. Umur saya 17 tahun dan ini adalah cerita saya.

Akan datang 2009.

sila beri komen anda

Si Kembang Kembali?

Salam,

Atas permintaan ramai, Buku Comel ke-2 yang akan diedarkan secara eskslusif di sini ialah Adventur Si Kembang.

Ingat lagikan siapa si Kembang tu?

Oleh kerana ia antara karektor yang disayangi di dalam siri Kembar Terpilih, maka saya akan buat beberapa cerpen tentang si Kembang.

Sekarang ni pun, saya dah ada beberapa jalan cerita tentang si Kembang yang nakal dan berani itu.

Hmm...saya juga nak tahu, perlukah si Kembang kembali semula di dalam siri Kembar Terpilih?

Jom Kongsi Petua

Salam,

Maaf sangat sebab dah dua hari tak update blog ini. Sebenarnya, saya sedang sibuk menyiapkan skrip filem untuk tahun depan. Ada 3 buah skrip semuanya. Dan sambil-sambil itu, tengah ulangbaca Menanti Ajal.

Jangan risau, sedikit masa lagi (dalam sehari dua ini), saya akan letakkan di sini, satu bab daripada Menanti Ajal, secara eskslusif.

Dan berkenaan buku comel Koleksi Mantera Kembar Terpilih, sekarang saya sudah kumpul 20 mantera dan juga ramuan tradisional mengubat pelbagai penyakit. saya perlukan lagi 30 saja lagi. Insyallah, bila siap nanti, saya akan edarkan.

Oh ya, jika anda ada ramuan tradisi/petua untuk ubati penyakit, boleh kongsikan bersama di sini. Tapi, sudah tentu saya akan kaji ramuan/petua itu terlebih dulu.

wasalam

Sunday, October 19, 2008

KEMBAR TERPILIH THE MOVIE

Salam,

Kepada fans siri Kembar Terpilih, harap maklum bahawa filem Kembar Terpilih 'tersangkut' lantaran modal besar yang diperlukan.

Walaupun perbincangan untuk adaptasi siri ini ke bentuk filem sudah diadakan tahun lepas, projek itu masih 'in limbo'. Antara sebabnya ialah pihak produser tidak berani keluarkan baget yang tinggi kerana 'demam' kembar terpilih tidak dirasai.

Insyallah, keyakinan produser akan diperolehi jika Kembar terpilih 5 dipromosi secara besar-besaran dan demam Kembar Terpilih dirasai seluruh Malaysia, tahun hadapan.

Mari kita berdoa supaya projek ini bakal menjadi kenyataan.

Nota: Siapa agaknya yang boleh melakonkan watak Misha dan Marsha? sila berikan pendapat anda.

wasalam

Saturday, October 18, 2008

Sudah Siap!!!!

Salam,

Alhamdullilah, Kembar Terpilih 5 : Menanti Ajal sudah pun siap malam tadi!!!!! Tapi, anda semua kena bersabar sikit kerana saya perlu mengulang baca dan membuat semakan semula untuk pastikan tidak ada kesilapan dari segi plot cerita. Ini kerana, terdapat satu plot utama dan dua sub plot dalam siri ke 5 ini.

Insyallah, manuskrip Kembar Terpilih 5 : Menanti Ajal akan saya serahkan kepada PTS One hujung bulan ini untuk tindakan selanjutnya. Dan mudah-mudahan, ia dapat berada di pasaran awal tahun 2009.

PS: Nantikan petikan dari kembar terpilih 5 secara eskslusif di blog ini minggu depan.

Wasalam

Tak tahan batuk?

Salam,

Semasa Misha diserang penyakit batuk, Opah telah mencuba satu ramuan tradisional.

Apa yang opah lakukan ialah mendapatkan satu per empat biji buah pala, separuh buah limau nipis dan satu sudu kecil minyak kayu putih.

Buah pala itu diparut halus manakala buah limau nipis diperah airnya. kedua-dua bahan itu kemudian dicampurkan dengan minyak kayu putih.

Opah kemudian sapukan ramuan tradisi itu pada belakang Misha dua kali sehari selama tiga hari ataupun sehingga Misha sihat.

Tapi ingat ya, jika batuk berterusan, buat pemeriksaan doktor.

Wasalam

Sakit perut?

Salam

nak tahu apa yang si kembar lakukan jika sakit perut?

Setiap kali Misha mahupun Marsha sakit perut, kembung perut ataupun cirit birit, mereka akan cari daun jambu batu yang muda ( di kebun belakang rumah merekalah), lalu mengunyah dan menelan airnya.

Insyallah, dengan izin Allah, sakit perut akan reda. Tapi ingat, jika sakit perut berterusan, pergi klinik tau!!!

Wasalam

Wednesday, October 15, 2008

Gambar Toyol


Salam,
Ini adalah foto yang dikatakan toyol yang ditemui di Pekan, tidak lama dahulu.
Saya sendiri tidak ada komen samada ia betul atau tidak.
Tapi jika inilah toyol yang ditemui Marsha dan Misha, tentu si kembar akan cabut lari.
Wasalam

Toyol...dia datang padaku berlari-lari

Salam,

Di dalam siri 1 Kembar Terpilih, si kembar berdepan dengan masalah toyol. Di sini, saya ceritakan serba sedikit tentang makhluk halus yang 'comel' ini.

TOYOL : Ada yang percaya toyol berasal dari makhluk kecil yang dihasilkan oleh
bomoh ilmu hitam melalui fetus manusia. Toyol boleh dibeli daripada bomoh itu.

Biasanya toyol digunakan untuk mencuri wang. Ia mesti diberi makan darah ayam jantan. Ia disimpan di dalam balang yang disorokkan di tempat gelap.

Ada yang mengatakan toyol perlu diberi makan beberapa titik darah dari tuannya sendiri daripada ibu jari tangan atau kaki setiap kali bulan mengambang.

Toyol digunakan untuk mencuri, sabotaj dan melakukan jenayah ringan. Ia boleh menyelinap di mana sahaja termasuk bilik yang berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja.

Perangai toyol macam budak kecil yang suka dibelai dan sukakan manisan dan permainan.

Untuk menghindar toyol, letakkan sejenis permainan (ketam) dengan wang yang disimpan. Toyol akan leka bermain dan terlupa tugasnya. Kacang hijau juga boleh ditabur di kawasan rumah kerana toyol akan leka mengutip biji-biji kacang itu.

wasalam

Tuesday, October 14, 2008

Penyanyi kesukaan Marsha


Hah!
Ni dia, secara esklusif, foto Dafi AF, penyanyi kesukaan si Marsha.
Nantikan juga novel Perang Cinta yang saya tulis daripada idea Dafi yang bakal berada di pasaran hujung tahun ini.
Wasalam

apa itu mantera?

Perkataan mantera berasal daripada kata mantra, mantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan. Ia mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal.
Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap.

Nota- Buat peminat-peminat kembar terpilih, usah risau kerana mantera-mantera yang dicipta untuk Kembar Terpilih adalah sekadar hiburan. Walaupun mantera-mantera itu diambil daripada mantera-mantera tradisi, ia sudahpun diolah supaya sesuai untuk pembaca-pembaca umum.

Monday, October 13, 2008

Profil Marsha

Nur Marsha binti Muhammad Osman
Tarikh lahir: 29 Januari
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Horoskop: Aquarius
Saiz pakaian: M
Hobi: bersukan, menyanyi, tidur
Pengarang kegemaran: Ujang
Majalah Kegemaran: Remaja, Seventeen.
Ikon: Angelina Jolie
Sukan kegemaran: banyak…semualah.
Makanan kegemaran: KFC
Minuman kegemaran: Diet Coke
Warna kegemaran: Merah, Biru emmm…semua kecuali Hitam.
Jenama Pakaian: yang trendy
Produk kecantikan kegemaran: Silky girl
Filem Kegemaran: Gol & Gincu
Pelakon kegemaran: Zac Efron
Lagu Kegemaran: banyak sangat la…Sayang, Sayang
Penyanyi kegemaran: Dafi AF, Alif Aziz
Impian: Nak jadi selebriti
Kebolehan: bertukar jadi halimunan dan menggerakkan objek dengan minda.

Profil Misha

Nur Misha binti Muhammad Osman
Tarikh lahir: 29 Januari
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Horoskop: Aquarius
Saiz pakaian: M
Hobi: Membaca, menonton dokumentari seperti National Geographic, Jejak Rasul
Pengarang kegemaran: Enid Blyton, J.K Rowlings, Ain Maisarah
Majalah kegemaran: Readers Digest, Dewan Sastera
Ikon : Nabi Muhammad SAW
Sukan kegemaran : tiada..mmm..Chess pun boleh ya.
Makanan kegemaran: masakan Opah terutama ayam masak merah!!!!!
Minuman kegemaran: Teh O Ais
Warna Kegemaran: Biru dan Putih
Jenama pakaian kegemaran: saya tak cerewet, asalkan selesa dan menutup aurat.
Produk kecantikan kegemaran: Safi sebab ia suci.
Filem Kegemaran: Tentang Bulan
Pelakon Kegemaran: Umie Aida
Lagu kegemaran: Ayah dan Ibu nyanyian arwah Sudirman
Penyanyi kegemaran: Mawi, Raihan
Impian: Nak jadi cikgu
Kebolehan: Boleh bertukar jadi halimunan dan terapung di udara.

Sunday, October 12, 2008

Koleksi Mantera Kembar Terpilih

Salam,

Saya sedang mencipta koleksi mantera-mantera Kembar Terpilih. Insyallah, koleksi ini akan saya jadikan sebagai 'buku comel' sebagaimana yang dilakukan oleh Kak Ain Maisarah.

Apakan anda ingin memiliki Koleksi Mantera Kembar Terpilih?

Jika berminat, sila tuliskan nama dan alamat e-mail.

Wasalam

Sinopsis Menanti Ajal

Salam kepada peminat Kembar Terpilih.

Secara esklusif, hanya di Teratak Si Kembar ini, saya tampilkan Sinopsis Kembar Terpilih Menanti Ajal.

Sinopsis

Misha amat yakin Marsha masih hidup walaupun segala usaha yang dilakukan oleh Opah dan Farid untuk menjejak Marsha secara magis, gagal.

Farid bersetuju membantu Misha mencari Marsha, walaupun jika terpaksa mengelilingi dunia!

Dalam pencarian Marsha, Misha dan Farid berkenalan dengan Niki, seorang budak perempuan yatim piatu yang mempunyai kuasa luarbiasa milik Marsha - boleh menggerakkan objek menggunakan minda.

Niki juga mempunyai jawapan samada Marsha masih hidup atau tidak. Siapakah Niki dan bagaimana Niki mempunyai kuasa milik Marsha?

Di rumah Kembar Terpilih, kuasa jahat mengunjungi Opah yang masih lemah. Tanpa Misha dan Farid, Opah bergantung harap kepada Putri, kucing keturunan dukun terbilang, untuk menyelamatkan nya.

Macammana? ok tak sinopsis ini?
Wasalam

Saturday, October 11, 2008

Kembar Terpilih - Menanti Ajal

Salam,

Untuk pengetahuan fans siri Kembar Terpilih, buku ke-5 akan diberi jodol Menanti Ajal. Saya dalam proses terakhir menyunting buku ini serta menambah rempah ratus yang bersesuaian supaya anda berpuas hati dengan buku ke-5 ini.

Menanti Ajal adalah lebih tebal daripada siri-siri Kembar Terpilih yang lain iaitu lebih kurang 400 mukasurat.

Menanti Ajal bermula sebaik saja Di Ambang Maut berakhir iaitu selepas Misha selesai solat Subuh dan terdengar namanya dipanggil.

Siapakah yang menegur Misha? Dan persoalan cepu emas - Adakah Marsha sudah meninggal dunia?, akan terjawab dalam buku 'bumper' ini.

Saya ingin tahu komen anda tentang penamat Di Ambang Maut. Pada pendapat anda, apakah yang telah terjadi pada Marsha?

Wasalam

Kembar Terpilih Menjelma

Salam sejahtera,

Populariti siri Kembar Terpilih menggesa saya untuk mereka laman blog ini, khas untuk peminat-peminat si kembar Misha dan Marsha.

Insyallah, blog ini akan menjadi dunia magis si kembar di mana anda boleh mendapat maklumat lebih mendalam berkenaan Misha dan Marsha. Maklumat terbaru tentang siri Kembar Terpilih serta anda juga boleh memberi komen membina bagi memantapkan lagi siri popular ini.

Melalui blog ini juga, anda akan perolehi perkara-perkara eskslusif beserta mantera-mantera dan tips perubatan yang digunakan di dalam siri Kembar terpilih.

Insyallah