Monday, February 16, 2009

PEREMPUAN BERKEBAYA MERAH ITU

INI ADALAH SALAH SATU CERPEN YANG MEMASUKI PERTANDINGAN DUNIA MAGIS.

Malam sebelum hujung minggu, ayah telah bercadang untuk membawa kami sekeluarga berkelah di sekitar kawasan air terjun di Sungai Congkak. Apa lagi, aku dan adik kecilku, Rizal bersorak kegembiraan.

Rizal yang manja lagi periang itu bertanya kepada ayah, “Bila kita akan ke sana ayah?”

“Hari Ahad, sayang.”

“Lusa?” soalnya lagi.

“Ya,” jawab ayah sambil menganggukkan kepala. Senyuman itu tidak pernah lekang daripada bibirnya.

“Betulkah, ayah?” Rizal seakan-akan tidak percaya.

Ayah ketawa kerana riang. Riang melihat Rizal yang petah berbicara meskipun pelat bahasanya. Ayah akhirnya menjawab, “Betul, Rizal. Ayah tidak tipu.”

Aku dan Rizal melompat keriangan bagai tidak ingat dunia. Telatah kami berdua menjadi bahan ketawa ayah dan ibu.

Sebenarnya, bukan selalu kami dapat bersama-sama apatah lagi ayah kerap ke pejabat untuk menguruskan kerja-kerjanya. Saat ayah memaklumkan berita gembira itu, ia bagaikan bulan jatuh ke riba kami. Alangkah seronoknya pergi berkelah!

Pagi Ahad itu, kami bersiap sedia dengan beg perkelahan masing-masing. Perjalanan menaiki kereta Volvo ayah dari rumah ke Sungai Congkak tidaklah sejauh yang kusangka kerana rumah kami sememangnya terletak di Hulu Langat.

Setibanya kami di sana, kami lihat tidak ramai pengunjung yang ada. Cuma segelintir sahaja yang bermandi-manda. Sedang aku leka memerhati air terjun, mataku tertancap pada pasangan muda berbangsa Amerika Latin. Mereka kelihatan gembira bergambar di kawasan air terjun.

Ternyata mereka takjub melihat kecantikan dan kebersihan Sungai Congkak. Aku seperti mereka juga. Sangat kagum dengan keindahan alam semula jadi di Malaysia, tanah tumpah darahku.

Apabila terpandangkan air sungai yang jernih lagi bersih, aku dan Rizal cepat-cepat menyalin pakaian. Kami berlari-lari ke air sungai sambil diperhatikan oleh ayah dan ibu. Mujurlah aku tidak jatuh tersungkur apabila tersepak seketul batu. Ibu pula risau melihat keadaanku tetapi sekejap cuma. Rizal begitu teruja bermain bola denganku. Barangkali dia gembira kerana dapat bermain di dalam air. Tidak seperti yang sering kami lakukan saban petang; iaitu bermain bola di halaman rumah.

Sedang kami asyik bermain, satu suara yang bergema panjang menyebabkan aku tersentak. Aku tercari-cari arah suara itu. Suara itu bergema sekali lagi. Kali ini gemanya lebih panjang. Pandangan mataku tertancap pada sesusuk tubuh perempuan yang berbaju kebaya merah. Apa yang lebih menghairankan, bayangannya datang dari sebuah tempat rahsia di sebalik air terjun itu! Cahaya matahari yang memancar ke arah air terjun itu membolehkan aku melihat bayangan perempuan itu walaupun samar-samar. Beberapa saat mataku berkerdip, bayangan perempuan tadi hilang seta-merta! Pelik sungguh. Ke mana perginya perempuan itu?

Tiba-tiba, sebiji bola dari arah yang bertentangan hinggap di atas mukaku. Aku jatuh terlentang. Air sungai berkocak kuat menyambut beratku. Sekembali ke permukaan air, Rizal kulihat mukanya masam mencuka. Mulutnya muncung macam mulut itik. Mungkin dia marah sebab aku berangan-angan tadi. Ah, ini semua pasti khayalan! Masakan seorang perempuan berbaju kebaya ketika berkelah!

“Rizal, maafkan akak ya? Janganlah marah.” Aku berusaha untuk memenangi hatinya semula. Dia tidak memberi respon. Sebaliknya Rizal menggunakan isyarat jarinya. Oh, mahu main lagi rupa-rupanya! Memang Kak Long kau kuat mengelamun, hatiku mengutuk diriku sendiri.

Sesudah bermain bola, ibu mengajak kami untuk makan bersama. Kami berjalan menuju ke sabatang pohon yang agak rendang. Di situlah tempat kami berkelah. Kami menjamah segala bekalan yang dibawa oleh ibu seperti sandwic telur, sandwic sardin, kuih seri muka dan cucur pisang. Semuanya menyelerakan!

Selepas makan, aku berehat sambil menikmati pemandangan di kawasan air terjun. Walau bagaimanapun, fikiranku sekali lagi terganggu kerana suara itu bergema buat kali kedua. Kali ini namaku pula yang disebut-sebut berulang kali.

“Nayli...Nayli...datanglah...”

Begitulah bunyinya. Suaranya yang lunak merdu itu seakan-akan menyeru aku untuk pergi kepadanya. Aku menoleh ke satu arah di sebuah hutan. Kelihatan perempuan yang sama sedang melambai-lambai tangan sambil menguntum senyuman ke arahku. Rambutnya panjang dililit kemas dan diselit dengan bunga melur. Seperti keadaan sebelum ini, beberapa saat mataku berkerdip, perempuan itu lesap entah ke mana. Aku terkesima. Adakah ini dikatakan mimpi di siang hari? Aku menoleh ke arah ayah dan ibu. Mereka kelihatan seronok melayan kerenah Rizal seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Sebelum masuk waktu Zohor, kami bertolak pulang ke rumah seawal yang mungkin. Pengalaman berkelah di Sungai Congkak memberi seribu satu kenangan kepadaku. Namun misteri kedatangan perempuan berbaju kebaya berwarna merah yang boleh ghaib tiba-tiba, masih menjadi tanda tanya kepadaku. Adakah ini hanya mainan fikiran ataupun perkara ini benar-benar terjadi? Benarkah dia manusia? Kalau benar manusia, bagaimana boleh tahu nama aku? Siapakah dia sebenarnya?

Arwah nenek pernah memberitahu kepadaku. Peristiwa bertemu dengan orang bunian jarang-jarang dialami oleh kebanyakan orang. Peristiwa itu boleh menjadi pengalaman berharga yang kadang-kala agak menakutkan. Tetapi betulkah apa yang aku lihat itu sebenarnya bunian atau yang lebih signifikan, makhluk halus? Apa yang pasti, pengalaman bertemu dengan perempuan misteri berbaju kebaya merah merupakan pengalaman yang tidak boleh aku lupakan sampai bila-bila.

5 comments:

Nur AeLiEyAE said...

sape punye cerpen nieyh

Nurulhuda said...

Cerpen sayalah...Ini cerpen saya..

Nurulhuda said...

Erm...npe encik meor siarkan cerpen sye dahulu drpd yg laen ya?

cerpen sye mcm xbagus sgt2...

adik si huda, munirah said...

wah! cerpen kakak aku tersiar lg la! bangga, tp tak bangga sbb cerpen ni x masuk top 5...

*suka sakat si kakak >:D

HuSnA-96@NaNA said...

pendapat sy...

cerpen yg penulisannya sgat bgows n best just xde kne mngena ngan magis.